BALING: Kejadian kepala air sekali lagi melanda Kampung Iboi sehingga air melimpah ke atas jambatan Bailey, petang Selasa.

Setiausaha Jawatankuasa Komuniti Kampung Iboi, Mohamad Nor Che Husain,59, ketika dihubungi berkata, hujan lebat sekitar jam 5 petang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dengan cepat sehingga menghakis tebing pasir.

“Kejadian itu mengakibatkan jambatan Bailey tidak dapat dilalui dan penduduk di dua kampung berhampiran terputus hubungan.

“Saya minta penduduk berjaga-jaga kerana hujan masih turun di Gunung Inas ketika ini dan segera pindah sekiranya hujan lebat berlaku malam ini,” katanya.

BACA: Hujan lebat dua jam, Baling dilanda banjir kilat lagi

Menurutnya, setakat ini tiga kampung di Mukim Kupang dinaiki air iaitu Kampung Iboi, Tanjung Nering dan Padang Empang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya akan menghantar anggota tambahan sekiranya keadaan banjir di daerah itu memburuk.

“Setakat ini hanya 12 anggota dari BBP Baling telah digerakkan untuk membantu penduduk di Taman Bayu Sejahtera yang dinaiki air berikutan banjir kilat sejak petang tadi.

“Anggota turut ditempatkan di Kampung Masjid Iboi dan Kampung Iboi yang dilanda kepala air lewat petang tadi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shamsudin Mamat, berkata dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Padang Empang dan Masjid Kampung Hangus bermula jam 8 malam tadi.

Katanya, ia melibatkan 30 keluarga namun jumlah mangsa belum dipastikan kerana bancian masih dilakukan.

“Kesemua mangsa ini terpaksa dikeluarkan dari kediaman mereka kerana dibimbangi tidak selamat selepas air telah memasuki rumah.

“Antara kawasan terjejas adalah Kampung Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Hangus, Kampung Sungai Batu dan Taman Bayu Sejahtera,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Jelas Shamsudin, kerja pemindahan mangsa dilakukan anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling.

Katanya, hujan telah berhenti namun kesemua mangsa tidak dibenarkan pulang kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Anggota polis ditempatkan di kawasan banjir bagi memantau rumah mangsa daripada sebarang kejadian kehilangan harta benda berlaku,” katanya.

Shamsudin memaklumkan jambatan Bailey masih ditutup sementara untuk semua kenderaan dan pejalan kaki kerana tidak selamat untuk dilalui.