LUNDU: Misteri kehilangan seorang lelaki ketika menangkap ikan di Sungai Kangka di sini pada Khamis terjawab apabila kepalanya ditemui hanyut kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang.

Kepala milik Sebarang Bingkok, 56, dari Kampung Kangka Sempadi ditemui anak saudaranya, yang menyusuri sungai tersebut dalam usaha mencari mangsa pada jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damatarius Lauti, berkata terdahulu, kehilangan mangsa disedari keluarganya sekitar jam 3 petang.

"Kira-kira dua jam kemudian, dua anak saudara mangsa memaklumkan mereka telah menemui bahagian kepala mangsa yang hanyut dibawa arus.

"Dia dipercayai telah diserang buaya di sungai itu," katanya menerusi satu kenyataan Khamis malam.

Kepala tersebut telah dibawa ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan menyambung usaha mencari anggota badan mangsa yang lain pada jam 8 pagi Jumaat.