IPOH: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 Okt depan untuk memutuskan permohonan kerakyatan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang dilahirkan seorang wanita warga China di negara ini dan kini memegang status 'tidak bernegara.'

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Ong Yu Shin, Ooi Keng Liang dan Datuk Nicholas Kow yang mewakili kanak-kanak tersebut.

Terdahulu, Ong memaklumkan mahkamah bahawa saman pemula difailkan pada Disember 2019 berikutan status tidak bernegara kanak-kanak itu yang dilahirkan di Ipoh pada 24 Jun 2016.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, beliau berkata Mahkamah Tinggi pada 4 Sept 2019 telah mengisytiharkan bahawa kanak-kanak itu adalah anak sah taraf kepada seorang lelaki warga Malaysia dan seorang wanita warga China.

Ong berkata ini susulan bapanya yang berusia 38 tahun telah mendaftarkan perkahwinan dengan ibunya yang berusia 39 tahun di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Putrajaya pada 5 Sept 2016 iaitu kira-kira tiga bulan selepas kanak-kanak tersebut dilahirkan malah adik lelakinya, yang lahir pada 19 Sept 2018, telah memperoleh kewarganegaraan Malaysia.

Beliau berkata kebajikan kanak-kanak itu sebagai bukan warganegara terbatas kerana tidak dapat menikmati hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan terutama apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan selain bakal berdepan kesukaran meneruskan pengajian kerana syarat kemasukan adalah berbeza.

"Kanak-Kanak itu telah dilahirkan di Malaysia dan prinsip 'jus soli' mengatakan sesiapa yang lahir di tanah negara ini patut dikenali sebagai rakyat Malaysia dan tidak perlu menjadi tidak bernegara."

"Jadi kami cuba yang terbaik bagi membolehkan kanak-kanak perempuan itu memperoleh hak sebagai warganegara kerana hanya dia seorang yang tidak mempunyai kerakyatan Malaysia dalam keluarga manakala adik lelakinya memperoleh hak berkenaan berikutan ibu bapa mereka telah berkahwin secara sah," katanya.

Jus soli atau kewarganegaraan hak lahir bermaksud hak kerakyatan sama rata iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan.

-- BERNAMA