PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas  keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas.

Panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi adalah betul apabila mendapati bahawa tiga pertuduhan pecah amanah terhadap Najib telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.

Dalam prosiding hari ini, panel Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan Hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan salah dalam mengarahkan Najib membela diri.

Panel hakim juga bersetuju dengan keputusan hakim perbicaraan bahawa Najib Razak selaku perdana menteri ketika itu mempunyai kepentingan peribadi dalam Kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan bahawa Najib mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International serta pengetahuan mengenai kemasukan RM42 juta ke akaunnya di antara tahun 2014 dan 2015.

Beliau turut memutuskan bahawa RM42 juta aliran wang keluar dari SRC dan ke beberapa syarikat dilakukan bagi menyukarkan pengesanan dan mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mahkamah juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa terdapat penyelewengan jelas sebanyak RM42 juta oleh Najib untuk kegunaannya sendiri.

Abdul Karim berkata dakwaan pembelaan kewujudan derma dari Arab yang masuk ke akaun Najib adalah tidak boleh dipertahankan.

Beliau menambah tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu dideposit ke akaun SRC yang merupakan entiti milik penuh Kementerian Kewangan jika ia sememangnya derma dari Arab.

Pasukan pembelaan yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan merupakan ‘talian hayat’ terakhir dalam proses undang-undang bagi mengelakkan hukuman penjara sehingga beliau berusia 80 tahun, jika 'ditakdirkan' hukuman bermula hari ini.

Dengan ini, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan sebelum selesai satu lagi peringkat rayuan itu, maka Najib kehilangan kelayakan untuk bertanding.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang individu itu kehilangan kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen sekiranya beliau disabitkan bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak diberi pengampunan.

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguh pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd ke atas Najib sehingga rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan selesai dengan jumlah jamin kekal sama. 

Prosiding hari ini selesai kira-kira pukul 11.15 pagi. Prosiding hari ini dilaksanakan melalui aplikasi zoom yang menyaksikan hakim dan pasukan pendakwaan berada di Mahkamah Rayuan manakala Najib dan pasukan peguamnya berada di lokasi lain berikutan pendedahan bahawa bekas perdana menteri itu serta peguam bela menjadi kontak rapat dengan individu positif COVID-19.

Semalam, panel hakim sama menolak permohonan Najib bagi mengemukakan bukti baharu untuk dipertimbangkan dalam rayuan bekas perdana menteri itu.

BACA: Kes SRC International: Mahkamah Rayuan tolak permohonan masukkan bukti baharu

BACA: Kes SRC International: Bukti baharu boleh dipercayai - Muhammad Shafee

BACA: Kes SRC international: Pendakwa Raya sifatkan tambah bukti baharu "berniat jahat"

BACA: Perbicaraan SRC International diteruskan dalam talian atau waran tangkap untuk Najib akan dikeluarkan - Mahkamah

Sepanjang tujuh bulan perbicaraan, pasukan pembelaan mengemukakan lebih 300 ratusan alasan mengapa Najib tidak patut didapati bersalah atas semua tujuh tuduhan.

Antara alasan dikemukakan Najib untuk dipertimbangkan adalah hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang membuat keputusan mensabitkannya pada 28 Julai tahun lalu, gagal menimbangkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank milik bekas Perdana Menteri itu.

Mohd Nazlan turut didakwa terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mendapati Najib mempunyai kepentingan dalam SRC International dan membuat dapatan dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bekas Perdana Menteri itu milik SRC Internatioanl serta gagal mengambil kira sumbernya adalah ihsan Perdana Sdn Bhd yang tidak diperincikan dalam kertas tuduhan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

Ini selepas beliau didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan RM42 juta dana SRC International.


BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kes SRC International: Nasib Najib diketahui hari ini

BACA: Kes SRC International: 'Saya sedia hadapi ujian dengan tenang dan reda' - Najib

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Perbicaraan kes SRC Najib



BERITA LANJUT MENYUSUL