PUTRAJAYA: Gred Purata Nasional bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 dilaporkan lebih baik daripada tahun 2021, dengan gred purata 4.74 berbanding 4.86 pada tahun 2021 iaitu perbezaan sebanyak 0.12, umum Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Pkharuddin Ghazali.

Seramai 10,109 atau 2.7 peratus calon mendapat keputusan Cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran iaitu peningkatan sebanyak 0.02 peratus atau 413 calon.

Manakala seramai 75,322 atau 20.1 peratus calon mendapat Kepujian dengan memperolehi sekurang-kurangnya gred C untuk semua mata pelajaran iaitu peningkatan sebanyak 1.3 peratus atau 3,480 calon.

Selain itu, seramai 128,193 calon atau 34.4 peratus Lulus dengan memperolehi sekurang-kurangnya gred E dalam semua matapelaharan iaitu peningkatan sebanyak 0.3 peratus.

Dalam masa yang sama, jurang pencapaian calon SPM tahun 2022 antara bandar dan luar bandar telah semakin mengecil, iaitu sebanyak 0.03 mata berbanding SPM tahun 2021.

Pkharuddin berkata, 91.6 peratus calon SPM 2022 layak menerima sijil daripada 373,974 calon yang telah hadir dan menduduki peperiksaan.