Lelaki warga emas yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 25 Mac lalu akibat mengalami keracunan selepas menikmati hidangan ikan buntal meninggal dunia pada Sabtu

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, lelaki berusia 84 tahun itu dirawat di ICU Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang.

Menurutnya, pesakit dipindahkan ke Wad Perubatan pada 5 April, dalam keadaan sedar dengan tanda vital pesakit stabil. Namun, pesakit masih perlu bernafas dengan bantuan alat pernafasan dan diberi makanan melalui tiub.

"Pada 8 April (Sabtu) sekitar jam 5.20 pagi, pesakit telah dikesan dalam keadaan tidak responsif ketika jururawat sedang menguruskan pesakit lain.

"Bantuan kecemasan telah diberikan serta-merta dengan kehadiran Pegawai Perubatan selama 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.20 pagi," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Tian Soon berkata, mayat mangsa diserahkan kepada Unit Forensik sebelum dituntut waris pada hari yang sama.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telahpun mengambil tindakan ketika pelaporan kes pertama diterima dengan menjalankan siasatan di lapangan, mengenal pasti pembekal, pemborong dan penjual yang terbabit di dalam urusniaga ikan buntal ini.

"Pejabat Kesihatan Daerah yang berkaitan juga telah membuka kertas siasatan di bawah Akta Makanan 1983," katanya.

BACA: Warga emas maut, suami dirawat di ICU selepas makan ikan buntal di Johor

Tian Soon berkata, JKNJ telah dan akan mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Jabatan Perikanan dan beberapa universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan serta toksin/racun untuk mendapatkan penyelesaian secara menyeluruh di dalam isu ini.

"Maklumat berkaitan ikan buntal ini juga telah dikongsikan di laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29 Mac hingga 1 April lalu.

"Justeru itu, JKNJ meminta agar orang ramai sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ianya mempunyai risiko yang telah diketahui," katanya.

Pada 28 Mac lalu, seorang wanita warga emas berusia 83 tahun maut, manakala suaminya dimasukkan ke ICU akibat mengalami keracunan selepas menikmati hidangan ikan buntal di Kluang pada 25 Mac lalu. -Sinar Harian