Rakyat menyampaikan mesej yang jelas dalam pilihan raya umum ke-13 yang lepas bahawa mereka mahukan kerajaan bertindak lebih tegas dan berani mempertahan institusi-institusi penting negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah penting untuk memastikan institusi yang selama ini telah kerajaan wujudkan untuk menjaga pembangunan, keharmonian, perpaduan dan keselamatan negara tidak diancam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya dapat mesej yang jelas sewaktu pertemuan bersama pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, kini kerajaan yang memerintah mesti lebih efektif, cekap, berani serta bersedia hadapi apa sahaja di hadapan.

"Jangan biarkan puak-puak yang tidak bertanggungjawab mengganggu-gugat keamanan dan perpaduan. Mereka (rakyat) mahukan kerajaan lebih berani.

"Saya nak ulangi, kita akan bertindak lebih tegas mempertahan segala institusi yang telah dibina untuk menjaga pembangunan, keharmonian, perpaduan, keselamatan dan keamanan negara," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Barisan Nasional (BN) di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad di Kundang Ulu, di sini Sabtu.

Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abd Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek serta pemimpin-pemimpin negeri dan parti komponen BN.

Muhyiddin berkata, mesej berkenaan antara dapatan yang diperoleh hasil analisis yang dilakukan oleh BN daripada keputusan pilihan raya umum lepas.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan menumpukan perhatian yang lebih terhadap kelompok masyarakat yang menyokong BN dalam pilihan raya lepas sehingga parti itu dapat terus mentadbir negara.

"Mesej jelas sebahagian besar Melayu, India, Bumiputera, Orang Asli, Siam dan sebahagian besar masyarakat di Sabah dan Sarawak masih mendukung BN. Mereka ini akan terus kita bantu dengan lebih kuat, itu yang akan kita lakukan," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru semua pihak supaya akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dalam pilihan raya umum lepas dan tidak perlu mempertikaikan lagi perkara itu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan sebagainya.

Beliau berkata sudah sampai masanya, agenda pembangunan negara berjalan seperti sediakala dan menurutnya rakyat sedang menunggu kerajaan untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

Pada sidang media kemudiannya, Muhyiddin berkata hasil laporan terperinci keputusan analisis pilihan raya yang dilakukan oleh BN itu dijangka diketahui pada bulan depan.

"Saya telah minta kajian lebih terperinci dilakukan di samping menilai bagaimana keputusan bagi setiap kawasan parlimen dan dewan undangan negeri.

"Ia bagi membolehkan inisiatif boleh diambil untuk hadapi cabaran masa depan baik daripada aspek pengundi mahupun isu pembangunan dan sebagainya.

"Laporan ini kita jangka akan terima pada bulan hadapan," katanya.

Menurutnya analisis itu penting supaya BN dapat menggariskan strategi yang boleh diambil untuk memastikan parti itu mampu terus memperoleh mandat dalam pilihan raya umum akan datang.