KUALA LUMPUR : Kerajaan akan mendedahkan kepada umum berhubung laporan hasil siasatan ke atas buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

“Insya-Allah kita akan dedahkan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara ringkas kepada pemberita hari ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendedahan tersebut penting bagi masyarakat umum mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas Peguam Negara 'lantikan politik' itu.

Ahmad Zahid menambah, laporan itu tidak sepatutnya dibiarkan disimpan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi akan mengulangi kertas siasatan kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sementara itu, Ismail Sabri pada 30 September telah mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tommy berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku dihasilkannya.

Siasatan akan dilakukan antaranya di bawah Seksyen 124(1) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengesahkan Bajet 2023 yang dijadual pada 7 Oktober ini kekal dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“(Siapa bentang bajet 2023?) Menteri Kewangan bentang…” katanya.