KOTA BHARU: Kerajaan akan meneruskan subsidi kepenggunaan yang dilaksanakan ketika ini bagi tempoh jangka pendek, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata ini berikutan subsidi kepenggunaan yang meliputi petrol, minyak masak, tarif elektrik dan sebagainya adalah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada masa sama, pelaksanaan subsidi dalam tempoh jangka sederhana dan panjang pula akan dinilai secara teliti supaya tidak menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan, katanya.

"Setakat ini kita telah buat yang terbaik dengan memberi subsidi kepenggunaan berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022. Nilai itu merupakan jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh kerajaan.

"Adalah sukar untuk kita pertahankan subsidi besar dalam jangka panjang dan dalam situasi ini telah memberi ruang bagi kerajaan untuk membantu rakyat," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog mengenai Isu Ekonomi Semasa bersama Pihak Industri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Makro Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Datuk Nor Azmie Diron dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Kelantan Mohamad Nazwan Ismail.

Mengulas selanjutnya, Mustapa yang turut menganggotai Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata pihaknya juga berhasrat untuk memperkasa kesatuan pengguna dalam menghadapi cabaran kenaikan harga barangan.

"Kerajaan akan terus bantu rakyat untuk menangani masalah ini, termasuk mengadakan seminar di peringkat kebangsaan dan negeri bagi meningkatkan kesedaran pengguna. Kita tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara keterlaluan.

"Kita juga berharap komunikasi sedemikian akan membolehkan rakyat lebih memahami keadaan semasa dan mengetahui tindakan yang telah dan akan diambil oleh kerajaan bagi membendung kenaikan harga barangan," katanya.

-- BERNAMA