Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil tindakan tepat serta sesuai pada masanya bagi menangani penularan pandemik COVID-19 secara komprehensif.

Ketika memperincikan usaha itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan juga melaksanakan pendekatan sistematik terlebih dahulu dengan memperkenalkan langkah-langkah kesihatan serta protokol yang menyeluruh demi menjamin kesejahteraan dan kehidupan rakyat.

"Pada masa sama, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan untuk menampan kesan ekonomi susulan pelaksanaan usaha tersebut bagi mengekalkan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Top Talk Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) bertajuk 'Malaysia's Experience: Economic Resilience and Business Continuity Measures to Recover from COVID-19' di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohamed Azmin berkata kerajaan mengambil pendekatan berteraskan 6R - 'Resolve, Resilience, Restart, Recovery, Revitalise dan Reform (Menyelesai, Ketahanan, Pembukaan Semula, Pemulihan, Mencergaskan Semula dan Pembaharuan) bagi mengukuhkan ekonomi negara ketika penularan pandemik berkenaan.

Sejajar usaha itu, kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan bernilai RM295 bilion merangkumi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion, pakej tambahan khusus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM10 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berjumlah RM35 bilion.

Menurutnya, pada masa sama, PKS yang mewakili 98 peratus perniagaan di negara ini turut dibantu kerajaan yang memperuntukkan sejumlah RM5 bilion menerusi Kemudahan Bantuan Khas (SRF).

Selain itu, dana tambahan RM1 bilion pula disuntik ke dalam Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) bagi meningkatkan akses pembiayaan untuk PKS serta menyokong pertumbuhannya.

Di bawah PRIHATIN, katanya, kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Upah berjumlah RM13.8 bilion bagi membantu majikan mengekalkan pekerja masing-masing dan skim tersebut memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Menurutnya, institusi kewangan pula menawarkan kemudahan moratorium enam bulan membabitkan pembayaran pinjaman yang dianggarkan RM100 bilion dan memberi manfaat kepada rakyat serta perniagaan.

Malah, katanya, penangguhan bayaran yang bermula sejak 1 April lepas, dapat memberi bantuan tambahan kepada syarikat untuk meneruskan operasi atau menyambung semula aktiviti perniagaan masing-masing.

"Keutamaan segera kerajaan adalah untuk mengekang penularan COVID-19 dan susulan itu peruntukan sebanyak RM500 juta telah disalurkan kepada Kementerian Kesihatan," katanya.

Menurut Mohamed Azmin, bagi meningkatkan keupayaan kesihatan Malaysia, kerajaan memperuntukkan tambahan RM1 bilion bagi tujuan pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk membendung COVID-19, termasuk mendapatkan pakar perubatan daripada perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta.

"Kita kini dalam fasa pemulihan dan telah melancarkan inisiatif-insiatif strategik bagi memajukan negara.

"Pada 5 Jun, 2020, kerajaan mengumumkan pelan PENJANA yang merangkumi 40 inisiatif bagi memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan serta merangsang ekonomi," katanya.

Menurutnya, penekanan telah diberikan bagi menyediakan bantuan sokongan untuk para pekerja dan PKS menerusi program-program latihan, skim pembiayaan, mempertingkat penggunaan domestik dan membantu industri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi memacu keyakinan pelabur, Mohamed Azmin berkata dana bernilai RM1.2 bilion telah diwujudkan bagi menggalakkan pelaksanaan inovasi serta meningkatkan modal teroka domestik.

Selain itu, seiring dengan objektif kerajaan ke arah transformasi digital, sejumlah RM100 juta telah diperuntukkan bagi mewujudkan Teknologi dan Inovasi Sandbox Nasional (NTIS), kata beliau.

"Merujuk perkara ini, perlu dinyatakan bahawa kesukaran yang dihadapi ketika pelaksanaan PKP itu sebaliknya telah meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan komuniti perniagaan.

"Saya percaya usaha memerangi pandemik ini akan memakan masa yang panjang dan memerlukan komitmen tidak berbelah-bahagi bagi mengetengahkan usaha terbaik serta bekerjasama sebagai satu pasukan tanpa mengira sempadan geografi.

"Begitu juga keadaannya bagi membina ketahanan ekonomi dan langkah-langkah meneruskan kelangsungan perniagaan yang akan terus menjadi cabaran besar untuk kita semua," katanya.

-- BERNAMA