KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menganjurkan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati serta bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri bagi menggantikan sambutan tahun baharu 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk menganjurkan Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 pada 31 Disember 2021 di Masjid Putra, Putrajaya.

"Dengan itu, saya mengajak Keluarga Malaysia untuk solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya pada malam esok.

"Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah," katanya dalam catatan di Facebook pada Khamis.

Selain itu, Ismail Sabri turut menyarankan agar masjid-masjid di seluruh negara, terutamanya masjid negeri menganjurkan majlis yang sama.


Manakala kata beliau, Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.

"Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini," katanya.