GEORGE TOWN: Biarpun pelayaran persiaran tempatan telah dibenarkan beroperasi kembali, kerajaan tetap mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuka semula sektor pelayaran persiaran antarabangsa berikutan gelombang baharu COVID-19 yang dibawa oleh varian Omicron.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata melihat kepada situasi semasa, adalah terlalu awal untuk mengulas mengenai pembukaan pelayaran persiaran antarabangsa.

Beliau berkata negara lain juga mengambil langkah yang amat berhati-hati dalam memerangi COVID-19 terutamanya varian Omicron.

"Pada masa ini, kami tidak boleh mengulas mengenai pembukaan pelayaran persiaran antarabangsa kerana Omicron ... jadi kami akan menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa kesihatan kerana kami masih lagi berpandukan peraturan Kementerian Kesihatan," beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan majlis bermulanya semula aktiviti pelayaran persiaran di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di sini semalam.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara sentiasa berbincang untuk memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng dan Naib Presiden Bahagian Jualan Genting Cruise Lines Cynthia Lee juga hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Wee berkata dengan beroperasinya semula pelayaran persiaran tempatan, SPCT dijangka mengendalikan 660,318 penumpang daripada 995 kapal persiaran tahun hadapan.

Beliau berkata sebelum COVID-19, SPCT mengendalikan lebih sejuta penumpang setahun dari 2013 hingga 2019 sebelum aktiviti pelayaran persiaran digantung sejak April 2020.

"Saya pasti bermulanya kembali aktiviti pelayaran persiaran ini memberikan kelegaan yang amat diperlukan industri dan menjana pelbagai kesan limpahan ekonomi terutamanya kepada usahawan kecil dan sederhana, pemandu teksi, e-hailing, pemilik restoran, penarik beca dan penggiat industri pelancongan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan pengendali pelayaran persiaran ke atas penumpang mereka, kebanyakan mereka menggemari Pulau Pinang kerana lokasi terminalnya strategik dan terletak di tengah-tengah bandar.

"Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang juga merancang untuk mengadakan satu pelan koordinasi pelayaran persiaran tahun hadapan dengan keutamaan meletakkan SPCT sebagai sebuah pelabuhan pangkalan untuk aktiviti pelayaran persiaran," katanya.

Sementara itu, Lee berkata Star Cruise sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan mengikut keperluan tempatan dan piawaian antarabangsa.

"Setiap individu dalam pelayaran persiaran perlu lengkap divaksin dan penumpang perlu menjalani ujian 'Antigen Rapid Test' di SPCT sebelum menaiki kapal bagi memastikan keselamatan kru dan penumpang lain," katanya.

-- BERNAMA