Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan undang-undang jenayah Syariah dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan sedia maklum berkenaan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan undang-undang jenayah Syariah.

“Oleh itu sebelum hasrat berkenaan dapat dilaksanakan, peruntukan undang-undang sedia ada perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaan undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau turut meminta kerajaan negeri Kelantan agar memberi perhatian terhadap penggubalan undang-undang jenayah Syariah yang komprehensif supaya penghukumannya adil dan saksama.

Jamil Khir juga berkata, kerajaan turut berhasrat memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah, menaik taraf sistem kehakiman Syariah dan menyemak semula kedudukan hakim-hakim mahkamah tersebut.

“Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Jenayah Syariah peringkat persekutuan adalah bagi memastikan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah dapat dilaksanakan dengan teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkuat kuasa,” tambahnya.

Beliau menjawab soalan dari Ahli Parlimen PAS-Pasir Mas, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan, dan apakah komitmen yang akan diberi oleh kerajaan pusat dalam menjayakan pelaksanaannya.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah meminta usul pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan hudud di Parlimen, disegerakan.

Beliau merujuk kepada pembentangan RUU itu yang membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Menurutnya, ia merupakan hak bagi kerajaan negeri Kelantan untuk mengemukakan RUU tersebut dan katanya tidak ada halangan daripada DAP untuk tidak bersetuju.

Pada 18 Mac lalu, Abdul Hadi telahpun mengemukakan satu notis bagi usul tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.

RUU berkenaan telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu.