ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa konsisten dan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata beliau sering membincangkan isu berkenaan dengan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad setelah Pakatan Harapan memimpin Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

"Kerajaan Pakatan Harapan merasakan kerajaan Barisan Nasional yang lepas bersikap cuai dan tidak mengambil kisah terhadap Pulau Batu Puteh.

"Ini kerana berdasarkan ringkasan penghakiman nombor 2008/1 bagi penghakiman bertarikh 23 Mei 2008, Kerajaan Negeri Johor ketika itu hanya berdiam diri ketika Singapura memasang alat komunikasi pada 1977 dan tidak menghiraukan cadangan Singapura untuk membuat penambakan laut di perairan Batu Puteh," katanya pada ucapan penggulungan Persidangan DUN Johor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ir Hasni Mohamad (BN-Benut) dan Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Layang-Layang) mengenai pendirian Kerajaan Negeri Johor berhubung keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Osman berkata Kerajaan Negeri Johor pada masa itu juga tidak membuat apa-apa tanda pemilikan ke atas pulau itu dan tindakan berkenaan mengakibatkan peluang untuk menuntut semula pulau itu terlalu tipis dan menelan kos tinggi.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan Pakatan Harapan kini bertekad memastikan tiada lagi usaha-usaha luar untuk mencabar kedaulatan Johor dan mempunyai strategi tertentu untuk memastikan kedaulatan negeri ini sentiasa terpelihara.

Sementara itu, pada penggulungan sama, Osman berkata Kerajaan Negeri bercadang untuk membuat audit forensik ke atas mana-mana projek yang mencurigakan.

Beliau berkata perkara itu masih dipertimbangkan setelah mengambil kira kos untuk melantik perunding agak tinggi selain bimbang laporan akhir yang dibuat perunding berpihak kepada mereka yang mempunyai kepentingan.

"Kerajaan Negeri sentiasa memantau dan memeriksa pengurusan kewangan terutama yang melibatkan projek yang mencurigakan di bawah pelaksanaan kerajaan terdahulu.

"Ini sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan kewangan negeri tidak disalahgunakan sama sekali," katanya menjawab soalan Chiew Chong Sin (PH-Mengkibol) dan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) berkaitan projek mencurigakan di bawah Kerajaan Negeri terdahulu.

Menurut Osman, cadangan penubuhan jawatankuasa khas khusus berkaitan isu itu akan dipertimbangkan untuk memastikan tiada pertindihan tanggungjawab Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Jabatan Audit Negara-Negeri Johor.

Beliau berkata sekiranya jawatankuasa khusus itu menjadi satu keperluan, kerajaan negeri akan mengumumkannya.

"Sekiranya Yang Berhormat sekalian mempunyai sebarang maklumat berkaitan projek yang mencurigakan boleh laporkan terus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri dan Jabatan Audit Negara-Negeri Johor untuk diambil tindakan susulan," katanya.

-- BERNAMA