KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyemak semula pelaksanaan Cukai Barangan Mewah seperti yang diumumkan menerusi Belanjawan 2023, kata ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana, katanya, pelaksanaan cukai itu berpotensi menjadikan Malaysia destinasi bukan pilihan oleh pelancong asing yang ingin berbelanja dan membeli belah.

Beliau berkata aktiviti membeli belah pelancong asing menyumbang sebanyak 30 peratus daripada RM86.1 bilion hasil pendapatan pelancongan negara pada tahun 2019.

"Kita mahu jadikan Malaysia sebagai syurga pelancongan supaya dapat menyaingi negara jiran lain yang ketika ini menjadi tumpuan pelancong.

"Saya harap kerajaan berhati-hati dalam pelaksanaan cukai ini," katanya dalam sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023, di Dewan Rakyat, hari ini.

Memetik contoh, Ismail berkata, sektor peruncitan di United Kingdom (UK) terjejas teruk apabila kerajaan negara itu memperkenalkan cukai barangan mewah, dengan jumlah pelancong asing membeli belah di ibu kota negara Eropah selain dari London meningkat sebanyak 80 peratus.

"Ini berikutan keputusan Kerajaan UK pada tahun 2020, tidak membenarkan lagi pelancong ke negara itu menuntut balik cukai nilai tambah (VAT) untuk membeli-belah," ujarnya.

-- BERNAMA