KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk menangguhkan sebarang bentuk kenaikan tarif elektrik sehingga krisis kekurangan bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan pulih kembali bagi melidungi pengguna.

Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 dan RM50 akan gagal membantu rakyat sekiranya kadar inflasi terus meningkat akibat kenaikan tarif elektrik.

"Tarif elektrik dijangkakan akan naik mulai 1 Julai. Tenaga Nasional Berhad (TNB), sepertimana syarikat tenaga yang lain di seluruh dunia sedang dihimpit oleh kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117 peratus sejak hujung tahun lalu.

"Namun, kenaikan tarif elektrik disaat pengguna sudah teruk diasak kenaikan harga barang keperluan lain pastinya sangat tidak wajar.

Malah, sebarang peningkatan dalam kos tenaga elektrik pasti akan menyumbang kepada kenaikan kos operasi dan pengeluaran yang akhirnya akan turut ditanggung pengguna," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, TNB sebagai sebuah GLC gergasi dengan keuntungan terkumpul lebih RM52 billion pastinya mampu untuk menyerap impak kenaikan kos bahanapi dan kos operasi.

"Buktinya, walaupun kos bahanapi meningkat sebanyak 26 peratus sepanjang tahun 2021, keuntungan operasi TNB telah meningkat sebanyak 10 peratus (RM742 juta) untuk tahun tersebut," ujarnya.