KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas Tan Sri Tommy Thomas bagi menyiasat 15 kes pendakwaan yang digugurkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan buku terbitan bekas Peguam Negara itu.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (PN-Baling) berkata, penubuhan RCI itu adalah bagi merungkai segala permasalahan yang melibatkan isu integriti serta melabelkan pemimpin UMNO sebagai kluster mahkamah dan pencuri.

"Saya tertarik dengan isu ini dan mohon penjelasan Parlimen berkaitan 15 kes yang digugurkan oleh Tan Sri Tommy Thomas semasa pemerintahan PH memerintah.

"Waktu itu (Ahli Parlimen) Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) merupakan timbalan menteri undang-undang. Mengapa ianya berlaku? Kenapa perlu ada double standard dengan kes-kes rasuah yang kita tahu melibatkan (bekas Ahli Parlimen) Pandan Rafizi Ramli dan (Ahli Parlimen) Bagan (Lim Guan Eng)?

"Saya berharap untuk merungkaikan semua masalah khususnya melibatkan integriti yang melabelkan UMNO sebagai kluster mahkamah, kami (UMNO) pencuri UMNO lah punca Barisan Nasional (BN) jahanam dan UMNO lah segala-galanya.

"Jadi saya berharap isu integriti ini dimuliakan, saya ingin mengesyorkan kerajaan mewujudkan satu RCI dengan segera bagi merungkaikan. Biar rakyat tahu, pendakwaan-pendawaan tersebut (melibatkan pemimpin Perikatan Nasional) siapakah dalang-dalang atau wujudnya tangan-tangan ghaib yang memberi arahan untuk menahan dan menuduh dalam kalangan kami," katanya.



Azeez Rahim cadang wujud RCI terhadap dakwaan Tommy Thomas

Menjelaskannya, Abdul Azeez berkata, RCI itu perlu bagi meneliti 15 kes yang digugurkan oleh bekas Peguam Negara itu dan juga buku yang diterbitkan beliau.

Terdahulu Abdul Azeez berkata, beliau tertarik dengan cadangan Mohamed Hanipa baru-baru ini yang meminta Peguam Negara meletak jawatan ekoran penguguran kes yang terlalu banyak termasuk membabitkan pemimpin PN termasuk  Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Namun, menurut beliau, pemimpin PN tidak pula mempersoalkan pengguguran 15 kes di bawah pentadbiran kerajaan PH, malah tidak meminta Tommy untuk meletakkan jawatan seperti yang dilakukan oleh gabungan itu pada ketika ini.

"Jadi satu RCI perlu diwujudkan, kita mesti berani kerana kita benar," tambahnya lagi.