KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap perlindungan, pemeliharaan, kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak di Malaysia.

Antaranya, mewujudkan satu Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak bagi memastikan pembelaan terhadap kanak-kanak yang berfokus, komprehensif dan efisien.

"Suruhanjaya itu akan menjadi satu badan bebas dan tidak tertakluk di bawah mana-mana Kementerian, Jabatan dan agensi Kerajaan yang lain serta memiliki bidang kuasa khusus bagi melindungi hak dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Cadangan lain yang dipersetujui dalam Mesyuarat Ke-2 Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial pada 15 September lalu termasuk membatalkan tafsiran awal yang menetapkan kewarganegaraan kanak-kanak yang diberikan berasaskan status bapa warganegara Malaysia sahaja.

"Ini ditambah dengan memberi kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

"Ini selaras dengan usaha Kerajaan ke arah pemeliharaan dan perlindungan hak golongan lelaki dan wanita serta menjamin hak kanak-kanak untuk identiti diri terutamanya apabila melibatkan masa hadapan kanak-kanak berkenaan.

"Hasrat ini akan menyemarakkan lagi semangat Keluarga Malaysia selari dengan polisi kerajaan 'No one is left behind," jelasnya.

Dalam masa yang sama, jawatankuasa itu turut menggesa kerajaan meneliti semula peruntukan yang sewajarnya dalam usaha penambahan perjawatan dan pengoperasian Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (D11).

"Ini termasuklah pertambahan perjawatan dan pengoperasian D11 di negeri-negeri dan daerah bagi mengendalikan kes-kes berkaitan jenayah seksual dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

"Selain itu juga, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak wajar diperluas ke setiap negeri dalam memastikan usaha yang berimpak tinggi dan memberi kesan yang ketara," jelasnya.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan  Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan dihadiri oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas termasuk Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff serta Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Sembilan lagi agensi lain terlibat adalah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).