KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melabur lebih banyak sumber dalam libat urus kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk menangani isu-isu berkaitan akses pasaran termasuk kempen anti minyak sawit yang berterusan oleh persatuan alam sekitar bukan kerajaan di Barat.

Beberapa persatuan yang mewakili kepentingan rantaian bekalan minyak sawit Malaysia dalam satu kenyataan bersama semalam berkata, libat urus itu juga merangkumi kempen label 'tanpa minyak sawit'.

"Menambah kepada senarai ini adalah halangan perdagangan diskriminasi yang diperkenalkan oleh kerajaan asing termasuk larangan import minyak sawit yang dikeluarkan ke atas dua syarikat Malaysia oleh Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat dan akhir sekali harapan serta syarat-syarat kepada pematuhan yang tidak realistik dan matlamat serta amalan kelestarian yang sentiasa berubah-ubah.

"Ini termasuk syarat-syarat jaminan makanan berkaitan dengan 3-monochloropropane diol (3-MCPD) dan ester asid lemak glycidyl (GE)," kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh 12 persatuan termasuk Persatuan Minyak Sawit Malaysia, Persatuan Pemilik Estet Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia, Persatuan Pengeluar-Pengeluar Pertanian Tanah Melayu, Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak dan Persatuan Kilang Penapis Minyak Sawit.

Persatuan itu juga merayu kerajaan untuk berbincang dengan industri dan mengkaji semula struktur percukaian ketika ini yang dikenakan ke atas penanam merangkumi Cukai Keuntungan Luar Biasa, Ces Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan cukai jualan negeri (SST) di Sabah dan Sarawak.

Mereka berkata minyak sawit Malaysia semakin sukar untuk mengekalkan daya saingnya berikutan pertanian telah menjadi satu daripada industri paling dilindungi dan banyak diberi subsidi di banyak negara di dunia.

"Langkah pembidaah perdagangan dalam bentuk subsidi pengeluaran pertanian, program bantuan eksport, kuota import dan kempen anti minyak sawit terus memberi cabaran kepada daya saing dan kelestarian minyak sawit," kata persatuan-persatuan itu.

-- BERNAMA