KOTA ISKANDAR: Sebanyak 8,000 peranti termasuk komputer dan internet jalur lebar akan mula diedarkan kepada pelajar di seluruh Johor bermula awal bulan depan.

Peruntukan itu melibatkan sebanyak RM25 juta bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan di negeri itu. 

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, kerajaan Johor akan menyalurkan peruntukan itu kepada pelajar daripada keluarga B40 dan ibu tunggal bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Peranti ini akan dijadikan aset sekolah dan kemudahan ini akan dipinjamkan kepada seramai 8,000 pelajar yang kurang berkemampuan. Inisiatif ini termasuk membekalkan 8,000 wifi poket dengan talian internet broadband khas untuk kegunaan pelajar yang bakal menduduki SPM pada tahun 2022 yang juga diserahkan kepada pihak sekolah,” kata Mazlan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Amanah - Parit Yaani) yang juga Ketua Pembangkang mengenai status inisiatif pemberian 8,000 peranti kepada pelajar memerlukan bagi pelaksanaan PdPR di Johor ketika sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di sini, hari ini.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, cabaran mendapatkan bekalan peranti disebabkan oleh kekurangan bekalan dan gangguan pada rantaian bekalan menyebabkan jadual bekalan peranti lewat diagihkan kepada sekolah dan pelajar.

Jelasnya, setakat ini pihaknya sudah membuat senarai pendek untuk agihan 8,000 peranti dengan tiga daerah iaitu Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kluang sebagai penerima tertinggi inisiatif tersebut.

Ia membabitkan sebanyak 47 buah sekolah di Johor Bahru melibatkan 1,316 pelajar dan 38 buah sekolah di Pasir Gudang (1,064 pelajar) serta kluang 29 buah sekolah (812 pelajar).