Kerajaan sedang mengkaji cadangan pemberian subsidi tidak langsung untuk membantu meningkatkan pendapatan sampingan kepada golongan graduan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia sekali gus menjadi alternatif penyelesai masalah kebanjiran pekerja asing di dalam negara.

"Semalam kita bincang mengenai masalah pendatang asing yang ramai di negara ini. Mereka datang ke sini kerana upah. Tetapi kalau upah tinggi barangan akan mahal.

"Ada pihak tertentu buat cadangan subsidi ini, supaya, apabila gaji meningkat, kita tidak akan bergantung kepada pekerja asing," katanya, sambil menambah, subsidi boleh jadi dalam bentuk gaji dan elaun melalui majikan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Platform Digital e-Dagang BOCE Malaysia/ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata negara kerugian berbilion ringgit setiap tahun berikutan pekerja asing yang menghantar balik pendapatan mereka ke negara asal.

"Kita tidak mahu pengaliran wang yang banyak ke luar negara. Kita ada cadangan tetapi belum buat keputusan. Kita akan kaji sama ada kita ada wang yang cukup atau tidak.

"Dalam mana negara pun, kalau duit mengalir ke luar negara kita akan menjadi miskin, kalau mengalir ke dalam negara kita akan menjadi kaya.

"Jadi kalau boleh, kita tak naklah duit kita mengalir ke luar dan kalau kita dapat guna pekerja kita sendiri maka duit itu akan berada dalam negara," kata Dr Mahathir.

Pada Rabu, sebuah akhbar yang memetik sumber melaporkan, kerajaan mahu memperuntukkan sejumlah wang untuk membantu graduan.

Langkah itu akan membantu kira-kira 50,000 anak muda untuk menperoleh pekerjaan.

Sumber itu juga dilaporkan berkata, kerajaan bersedia menyediakan subsidi sebanyak RM700 sehingga RM1,000 kepada graduan berusia antara 20 dan 30 tahun.

Jelas Dr Mahathir, pertimbangan subsidi itu akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang berminat.