Kerajaan sedang mengkaji untuk menaik taraf status guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) termasuk dilantik ke jawatan tetap dalam usaha membela kebajikan golongan ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Fuziah Salleh berkata kajian itu dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai penyelaras program KAFA.

"Jakim sedang membuat satu kajian untuk menaik taraf status guru KAFA antaranya untuk dilantik menjadi penjawat tetap dalam perjawatan dan kita ingin pastikan kemahiran guru-guru KAFA ditingkatkan dengan diberi kursus-kursus bersesuaian," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai perancangan kerajaan dalam menaik taraf status kontrak guru KAFA di seluruh negara.

Fuziah berkata pada masa ini terdapat 31,460 guru KAFA dengan seramai 973,555 murid sedang mengikuti program KAFA serta 5,609 premis KAFA di seluruh negara.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mengekalkan peruntukan bayaran elaun sebanyak RM900 sebulan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM117 sebulan kepada guru-guru KAFA sebagaimana yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, kerajaan juga menyambut baik langkah Kerajaan Negeri yang memberikan 'matching grant' dalam usaha meningkatkan pendapatan guru KAFA.

"Ada negeri yang beri elaun tambahan seperti Selangor yang memberi tambahan sehingga RM700 sebulan, menjadikan jumlah RM1,717 sebulan dan negeri lain juga ada beri (tambahan)," katanya.

Mengulas soalan tambahan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) mengenai ada guru KAFA di Sabah yang menerima elaun kurang daripada RM900 sebulan, Fuziah berkata perkara itu perlu dilaporkan dan perlu disiasat memandangkan peruntukan disalurkan kepada agensi bertanggungjawab yang melaksanakan program itu di peringkat negeri.

Jelasnya Jakim adalah penyelaras program KAFA namun operasi KAFA dilaksanakan oleh agensi bertanggungjawab seperti jabatan dan pihak Yayasan Islam di negeri-negeri.

"Pada masa ini Jakim tidak mempunyai bangunan sendiri tetapi menggunakan premis seperti sekolah kebangsaan, masjid, surau, balai raya dan rumah kedai untuk kelas KAFA," katanya.

Sementara itu, Fuziah berkata kementerian akan meneliti terlebih dahulu lantikan kumpulan 'penggerak masyarakat' yang menjalankan tugas menyampaikan dakwah dan mengajar Al-Quran di Kelantan susulan penamatan kontrak seramai 3,075 penggerak masyarakat di negeri itu.

"Saya dimaklumkan mereka lantikan politik sebab itu khidmat mereka dihentikan pada 15 Jun lepas tapi kita iktiraf peranan guru Al-Quran ini, kita perlu anak tahu Al-Quran, jadi kita akan kaji semula skim mana yang akan digunakan.

"Mungkin tidak teruskan lantikan dahulu tetapi kita akan teliti kriteria dan ciri-ciri lantikan guru yang akan dilantik pada masa hadapan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Jeli) mengenai nasib kumpulan penggerak masyarakat yang dihentikan perkhidmatan itu.

-- BERNAMA