KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengutamakan soal integriti dan prinsip pengasingan kuasa demi menjaga aspirasi rakyat.

Jelas Annuar, meskipun terdapat komen dilontarkan pihak tertentu, namun jelas Ahli Parlimen Ketereh itu, ia dilihat sebagai satu polemik politik semata-mata.

"Saya fikir lagi kurang saya komen lagi baik, kalau kita komen semua orang bercakap dan orang yang tidak ada locus standi tertentu, ia merupakan satu polemik politik.

"Yang penting kerajaan terus mengekalkan integriti dan melakukan sesuatu mesti mengikut jalur peraturan dan undang-undang.

"Kita harus belajar apa yang negara lalui sebelum daripada ini, soal integriti ini adalah perkara penting," jelasnya.

Beliau diminta mengulas mengenai kritikan beberapa pihak terhadap institusi kehakiman negara melibatkan Peguam Negara.

Mengulas lanjut tambah Annuar, prinsip pengasingan kuasa amat ditekankan Perdana Menteri terhadap Jemaah Menteri.

Ujarnya, kerajaan tidak berlaku adil sekiranya mengamalkan pemusatan kuasa dan tidak mendengar nurani rakyat.

"Bagi kerajaan terutama Perdana Menteri, beliau (Ismail Sabri) telah menegaskan beberapa kali dalam Jemaah Menteri supaya memastikan kerajaan ini kekal istiqamah untuk mendahulukan rakyat dan mematuhi setiap prinsip pengasingan kuasa juga prinsip integriti untuk mengekalkan sebuah kerajaan yang menjaga harapan dan aspirasi rakyat.

"Kita tidak mahu jadi slogan 'Aspirasi Keluarga Malaysia', jelajah ke seluruh negara, tetapi kalau lain yang rakyat nak, lain yang kita berkuasa lakukan, pada saya kita tidak berlaku adil," katanya lagi.

Ujar Annuar, sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan mereka, namun kerajaan ketika ini berpegang teguh dan kekal istiqamah dengan pegangan itu.

"Jadi sesiapa boleh bagi pandangan, tapi kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri akan kekal istiqamah, mengekalkan integriti dan mendengar hati nurani rakyat.

"Lain-lain syor dan cadangan bersifat kepentingan kumpulan, puak, kita anggap sebagai pandangan peribadi.

"Kerajaan kekal utamakan integriti dalam setiap tindakan kerajaan dan tiada siapa boleh cuba memaksa Perdana Menteri melakukan sesuatu tidak kena pada peruntukan undang-undang, pengasingan kuasa dan juga integriti Kerajaan Keluarga Malaysia," katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti politik dilapor menyampaikan pandangan dan kritikan terhadap badan kehakiman negara terutama melibatkan pelantikan Peguam Negara.