KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar bagi mengurangkan ketirisan, menurut Kementerian Kewangan.

Kementerian itu berkata langkah pertama yang diambil adalah melalui pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar pada separuh tahun 2023 apabila sebahagian kos dilepaskan kepada industri termasuk perbadanan multinasional.

"Melalui langkah ini, kerajaan masih menanggung jumlah subsidi sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal sebanyak RM14.9 bilion. Kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar berasaskan kepada model yang bersesuaian dan kebolehlaksanaannya.

"Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar menumpukan kepada manfaat untuk sebahagian besar rakyat Malaysia tanpa memberi implikasi kepada kenaikan kos sara hidup," kata Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin (PN-Pagoh) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar bagi mengurangkan beban fiskal negara dan mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar tersebut.

Menurut kementerian itu lagi, langkah meneruskan pemberian subsidi dan bantuan dapat membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat, walau bagaimanapun pelaksanaan yang tidak bersasar menyebabkan ketirisan berlaku.

"Jurang harga yang tinggi antara harga pasaran dan harga bersubsidi juga telah meningkatkan risiko penyeludupan terutamanya diesel.

"Ini dapat dilihat daripada kecenderungan penggunaan diesel tahun 2022 yang meningkat dari 5 hingga 6 bilion liter setahun (2018 - 2021) kepada lebih 8 bilion liter setahun bagi tahun 2022," jelas kementerian.

Kerajaan pada tahun 2022 telah membelanjakan lebih RM80 bilion bagi keseluruhan subsidi, insentif dan bantuan.

Jumlah terbesar perbelanjaan bagi tujuan subsidi kepenggunaan adalah sebanyak RM66.3 bilion yang merangkumi subsidi petrol, diesel dan gas asli cecair untuk memasak, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik dan subsidi harga ayam serta telur.

-- BERNAMA