KUANTAN:Kerajaan hari ini melancarkan pemberian vaksin pneumokokal, satu inisiatif baharu di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pemberian vaksin terbabit bertujuan mencegah penyakit jangkitan bakteria 'streptococcus pneumoniee' yang boleh menjangkiti semua golongan umur tetapi lebih sering menyerang kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Bakteria ini boleh menyebabkan radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang paru-paru, radang selaput otak dan saraf tunjang serta jangkitan dalam darah yang boleh membawa maut.


"Dengan adanya suntikan vaksin pneumokokal sekurang-kurangnya kita dapat mencegah penyakit ini dan mengurangkan kos-kos rawatan untuk penyakit pneumokokal yang berbahaya sekiranya berlaku.

"Kita elakkan mereka daripada daripada mendapat komplikasi penyakit pneumokokal yang berbahaya. Jadi dengan pelalian ataupun vaksinasi pneumokokal ini kita beri satu langkah pencegahan yang penting," katanya.

Bermula 1 Disember 2020, kanak-kanak yang lahir mulai 1 Januari 2020 adalah layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di semua klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, pada tahun 2019, seramai 19,773 kes pneumokokal invasif melibatkan kanak-kanak di bawah lima tahun manakala pada tahun 2017, sebanyak 17,446 kes dicatatkan.

Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM90 juta bagi program ini yang akan memberi manfaat kepada 500,000 kanak-kanak setiap tahun.