KUALA LUMPUR: Bagi menyokong inovasi di Malaysia, kerajaan telah meluluskan sebanyak 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D dan C&I) dengan kos berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan dan peruntukan itu adalah untuk tempoh 2021 hingga 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut beliau, dalam aspek pengkomersialan pula, sekurang-kurangnya 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental.

BACA: MOSTI teruskan misi penyelesaian, inovasi menerusi MYHackathon 2022

Tambah beliau, sektor inovasi juga perlu memberi tumpuan untuk melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.

"Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.04 peratus sahaja pada tahun 2018.

"Bagi tujuan ini, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D dengan sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dan endowmen juga dipertingkatkan," katanya.

\
Teknologi dan Inovasi | Tingkat usaha tarik minat anak muda terhadap STEM

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan persidangan Malaysia Innovates 2022 dan pelancaran Laporan Malaysia Innovates Edisi 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC ) pada Selasa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelaburan yang rendah dalam R&D dan C&I berbanding negara maju merupakan antara cabaran berkaitan inovasi yang perlu ditangani Malaysia.

Membandingkan dua negara iaitu Korea Selatan dan Jepun, Ismail Sabri berkata, GERD Korea Selatan dan Jepun masing-masing pada kadar 4.52 peratus dan 3.22 peratus pada 2018 berbanding hanya 1.04 peratus bagi Malaysia.

BACA: RMK-12: Tiada jalan lain, perlu guna teknologi termaju untuk capai negara berpendapatan tinggi - PM

“Landskap R&D dan C&I Malaysia juga berbeza dengan negara-negara maju kerana hampir 80 peratus penyelidik di negara ini pada tahun 2018 berada di institusi pengajian tinggi manakala 97.4 peratus usahawan datangnya daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Selain itu, daripada lebih kurang 5,435 syarikat pemula (atau startups) daripada tahun 2010 hingga 2020, hanya lima peratus syarikat pemula adalah berasaskan teknologi.

“Oleh itu, bagi pendekatan jangka pendek dan sederhana, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik dan usahawan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan inovasi tempatan,” ujarnya.

Jelas Ismail Sabri, usaha sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 (SUPER) menyasarkan 5,000 buah syarikat pemula dan lima buah syarikat bertaraf unicorn bernilai lebih AS$1 bilion menjelang 2025.