KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan dana tambahan sebanyak RM15 juta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membiayai projek penjujukan genom virus SARS-CoV-2.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, ini bagi memperkukuh ekosistem sokongan pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) susulan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

"Projek yang telah memasuki Fasa 3 ini adalah amat penting dan strategik bagi mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia terutamanya varian membimbangkan (VOC) seperti varian Omicron dan Delta.

"Konsortium 11 buah makmal yang diselaraskan oleh Institut Genom dan Vaksin Malaysia-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (MGVI-NIBM) menyasarkan untuk menjujuk sebanyak 15,000 tambahan genom virus SARS-CoV-2.

"Sehingga 27 April 2022, sejumlah 15,565 sampel telah dijujuk, dianalisis dan maklumat genom virus SARS-CoV-2 berkenaan telah dimuat naik ke pangkalan data Global Initiative on Sharing Avian Influenza Data (GISAID)," katanya, pada Isnin.

Mengulas lanjut, MOSTI berkata, sebanyak 7,245 sampel atau 46.55% dikenal pasti sebagai varian Delta; 6,374 sampel (40.95%) adalah varian Omicron; 283 sampel (1.82%) adalah varian Beta dan33 sampel (0.21%) adalah varian Alpha.

Jelasnya, sampel-sampel tersebut dipilih oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan diambil dari semua negeri di Malaysia.

Manakala Konsortium 11 buah makmal ini terdiri daripada MGVI-NIBM, di bawah MOSTI; Institute for Medical Research (IMR), di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini termasuk sembilan buah makmal di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu, Institute of Health and Community Medicine dari UNIMAS, UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI), Institute iPROMISE UiTM, Tropical and Infectious Diseases Research Centre (TIDREC) di UM, Pusat Kesihatan UM (UMMC), Hospital USM (HUSM), Hospital Pengajar UPM (HPUPM), Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC@IIUM) di UIAM.