KUALA LUMPUR: Kerajaan masih merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan perlaksanaan ibadah umrah pada Disember tahun ini.

Selain itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kebenaran bagi pelaksanaan ibadah tersebut masih perlu menunggu keputusan akhir kerajaan.

“Perkara ini (kebenaran pada Disember) dalam pemakluman pihak Lembaga Tabung Haji (TH).

"Dan kita masih lagi menunggu kebenaran kerajaan untuk kita membenarkan operasi umrah yang dikatakan akan dibenarkan pada Disember ini.

“Kita masih merangka SOP dan beberapa syarat yang perlu dilaksanakan untuk kebenaran mengerjakan umrah hujung tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PKR-Balik Pulau) yang membangkitkan isu berkaitan ibadah umrah yang sudah mula diiklankan agensi-agensi berkaitan kerana dipercayai akan dibenarkan pada Disember tahun ini.

Muhammad Bakhtiar turut meminta penjelasan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berhubung satu perbincangan mengaitkan keputusan kebenaran berkenaan yang dikatakan telah berlangsung pada 6 September lalu.

Bagaimanapun, Dewan Rakyat mengarahkan jawapan bertulis diberikan kemudian oleh kementerian terlibat.

Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka semula ibadah umrah kepada warga tempatan manakala jemaah antarabangsa bermula 10 Ogos.