MUAR: Kerajaan negeri akan menanggung kos pengurusan jenazah empat beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata pihaknya turut menyediakan tempat tinggal sementara kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata bantuan awal turut diberikan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebanyak RM3,000 serta bantuan kecemasan daripada Pejabat Daerah Muar sebanyak RM2,000.

Selain itu, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memberikan keperluan pakaian, tilam, selimut dan lain-lain bagi membolehkan keluarga berkenaan menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kita juga berusaha untuk menyediakan kediaman sementara yang tidak jauh dari tanah perkuburan. Ketika ini, pejabat daerah telah kenal pasti rumah inap selama seminggu," katanya ketika melawat ibu bapa empat beradik itu di Jabatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, hari ini.

Mohd Fared berkata pihaknya dimaklumkan proses bedah siasat masih berjalan sehingga kini dan jenazah empat beradik itu dijangka dikebumikan di tanah perkuburan di Jalan Batu 6, Bakri.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan membantu aspek kebajikan lain daripada pengurusan hospital sehinggalah pengebumian.

Pada kejadian 7.49 malam tadi, empat beradik berusia tiga hingga lapan tahun, maut selepas rumah mereka terbakar sehingga 70 peratus di kampung berkenaan.

-- BERNAMA