JERANTUT: Kerajaan negeri Pahang bertegas menyenarai hitam penerima tanah Skim Tanah Rakyat (STR) dan ahli keluarganya yang menjual tanah yang dikurniakan kepada penerima tanah tersebut.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan, amalan penerima STR yang menjual tanah adalah sesuatu perkara yang buruk sebagai tidak mengenang jasa kerajaan negeri yang menganugerah tanah tersebut.

“Amalan menjual tanah yang berlaku sangat tidak wajar, oleh itu kerajaan negeri tidak berkompromi dan mengambil pendekatan untuk menyenarai hitam penerima STR untuk tidak diberi peluang lagi.

“Kerajaan akan menetap tempoh menjual tanah STR dan perlu kelulusan pihak kerajaan negeri sebelum dijual,” katanya di Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik dan Notis Borang 5A Daerah Jerantut, di Dewan Majlis Daerah Jerantut, pada Rabu.

Katanya, penganugerahan STR daripada kerajaan negeri sebagai menjaga kebajikan rakyat yang agar dapat hidup dengan selesa selain boleh menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah yang diperoleh.

“Kerajaan cuba menjalankan tugas sedaya upaya bagi menentukan kebajikan rakyat dengan senario kestabilan ekonomi boleh merangsang  pertumbuhan pendapatan negeri di samping kestabilan politik yang kukuh.

“Apabila kedua-dua faktor ini kukuh dan kuat, perjalanan pentadbiran negeri boleh dilaksanakan dengan baik dan terancang,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah,  ADUN Benta, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.

Sementara itu, seramai 63 orang menerima Suratan Hak Milik Kawasan Tanah Berkelompok Felda Sungai Retang (dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tahan) bagi kawasan kediaman dengan jumlah keseluruhan 6.25 hektar dan juga kawasan ladang dengan jumlah keseluruhan seluas 256.93 hektar.

Manakala Kawasan FELCRA Durian Hijau 1 (DUN Pulau Tawar) seramai 100 orang peserta akan menerima suratan hak milik, melibatkan kawasan pertanian (kelapa sawit) dan setiap peserta akan menerima 2.4 hektar tanah dengan jumlah keseluruhan 364.239 hektar.

Seramai 85 orang turut menerima suratan hak milik di Kawasan FELCRA Durian Hijau (DUN Pulau Tawar) yang melibatkan kawasan pertanian (kelapa sawit), di mana setiap peserta akan menerima 1.6 hektar dengan jumlah keseluruhan 192.82 hektar.

Seramai 1,473 penerima STR diberi suratan hak milik yang berada di kawasan DUN Damak, DUN Tahan dan DUN Pulau Tawar.