KUALA LUMPUR:Kerajaan perlu segera melakukan reformasi penting berkaitan pelantikan Peguam Negara dan pemisahan jawatan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad membuat cadangan tersebut susulan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” yang beliau sifatkan telah mendedahkan kuasa yang dimiliki Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara.

Beliau turut mencadangkan agar tatacara pelantikan yang dibuat menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara.

"Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam perlantikan seorang Peguam Negara.

"Pelantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula. Lebih merisaukan bila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang ditulis oleh Tun Dr Mahathir sendiri.

"Malaysia mesti mempunyai tatacara pelantikan yang menepati segala ciri ketelusan dan kompetensi bagi jawatan berkepentingan awam dengan kuasa yang luar biasa seperti Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.



Ganti jawatan PM: dakwaan Tommy Thomas mengarut

Dalam masa sama, Mohamad mencadangkan agar kuasa mendakwa yang kini dimiliki oleh Peguam Negara perlu dihadkan dengan memisahkan jawatan Pendakwa Raya.

Katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memisahkan peranan dua jawatan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungi yang berbeza.

"Kuasa yang memusatkan segalanya kepada seorang individu mesti dihadkan.

"Mungkin wajar untuk kerajaan mempertimbangkan pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza," katanya lagi.

BACA: Saya dan Tommy baik sahaja, malah cadangkan anugerah Tan Sri untuknya - Tun Mahathir

BACA: Tun Mahathir hairan Tommy Thomas tidak faham isu kejatuhan PH


Mohamad menjelaskan, persediaan ke arah untuk melaksanakan perubahan itu perlu dilakukan biarpun usaha meminda perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah sukar dan memerlukan sokongan dua pertiga.

 
Sumber Facebook mohamad.hjhasanii