KUALA LUMPUR :Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan supaya memberi keutamaan dan menyegerakan usul tidak percaya yang telah dibawa oleh ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember ini.

Pendirian itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pendirian tersebut menyusul selepas Majlis Presiden menerima laporan berkenaan perkembangan politik terkini di Perak serta penurunan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+ pada 4 Disember lalu oleh Fitch Ratings.

"Ini adalah satu tamparan hebat buat kerajaan, khususnya Menteri Kewangan. Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjutan daripada ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.

"Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini.

"Perdana Menteri seharusnya mengangkat prinsip ketelusan dan tatakelola yang baik dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), antara lainnya. Malangnya, ini tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada," kata mereka dalam kenyataan itu.

BACA: PH Perak tentukan keputusan, cadangan berhubung kemelut di Perak

BACA: Penarafan Fitch Ratings kembali positif jika pemulihan ekonomi berjaya


Oleh itu, Majlis Presiden PH berpendapat usul berkenaan penting demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan hala tuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara.

"Majlis Presiden PH berpendirian bahawa kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa ahli-ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember," kata mereka.