KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan komited merealisasikan perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi menjaga kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata dalam tempoh sebulan sejak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara, banyak usaha dan perkara dalam MA63 yang dipersetujui telah dilaksanakan.

"Dengan Malaysia yang terangkum, perjanjian (MA63) dipersetujui oleh pemimpin terdahulu adalah tanggungjawab kita untuk melaksanakan... itu pesanan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) kepada saya.

"Ketika pentadbiran terdahulu, memang sudah banyak perkara dibincangkan dan ada yang sudah dilaksanakan... tapi banyak (lagi) belum dilaksanakan.

"Dalam tempoh sebulan (Kerajaan Perpaduan mentadbir), kita dah bersetuju beberapa perkara termasuk pemberian gas kepada Sabah dan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga selesai dan ada beberapa perkara lagi yang kita harap dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi.

Selain itu, Fadillah berkata menerusi peningkatan peruntukan untuk Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2023 berbanding tahun lepas, membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan taraf kebajikan rakyat dan pembangunan di kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata walaupun ada yang membandingkan peruntukan yang diterima kedua-dua negeri itu, namun terdapat peningkatan bagi jumlah peruntukan dan fokus kerajaan adalah soal pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.

"Keutamaan kita adalah menyegerakan pembangunan kemudahan sosial, bekalan air dan kemudahan asas yang lain.

"Yang penting ada komitmen dan penambahan (peruntukan) sudah berlaku... fokus kini kepada pelaksanaannya, jika pelaksanaannya baik maka (manfaat) akan dirasai rakyat dan jurang pembangunan dapat dirapatkan," katanya.

Dalam Belanjawan 2023, Sabah diberikan peruntukan berjumlah RM6.5 bilion berbanding RM5.16 bilion pada 2022, manakala Sarawak dengan RM5.6 bilion berbanding RM4.67 bilion (2022).

-- BERNAMA