PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan tidak dapat melawan perubahan iklim secara sendiri, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut Nik Nazmi, usaha tersebut memerlukan penglibatan daripada semua sektor di negara ini termasuk orang awam, sektor swasta serta kerajaan negeri.

Jelas beliau, walaupun pengeluaran karbon Malaysia hanya 0.69 peratus berbanding negara maju yang menyumbang lebih banyak, namun negara ini masih terdedah kepada kesan perubahan iklim.

“Sebab itu saya katakan ‘full of village approach’ tetapi kerajaan memainkan peranan penting. Saya sebut juga dalam ucapan saya kadang-kadang terlalu banyak penekanan suruh kita berbasikal, atau jangan pakai kapal terbang sebab impak kepada alam sekitar.

“Saya tak nafikan perkara tersebut tetapi naratif yang kata ini semua tanggungjawab individu untuk lawan pencemaran dan perubahan iklim, boleh lihat balik naratif yang dibuat oleh mereka yang pencemar (atau) syarikat-syarikat besar terlibat dalam pencemaran.

“Jadi sebab itu peranan kerajaan memastikan korporat-korporat besar termasuk pencemar-pencemar ini memainkan peranan mereka, adalah sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelan Adaptasi Iklim Semulajadi Pulau Pinang (PNBCAP), di sini, pada Selasa.

Niz Nazmi turut menyaksikan majlis tandatangan Persetujuan Kerjasama antara Think City dan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi melaksanakan PNBCAP, yang dihadiri sama oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, PNBCAP yang diperkenalkan oleh Think City pada 2019 merupakan sebuah konsep yang berpotensi tinggi kerana mengguna pakai penyelesaian berasaskan alam semula jadi, dan memberi sumbangan besar kepada usaha menangani perubahan iklim. 

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa rangka kerja PNBCAP akan menjadi model untuk kawasan bandar di seluruh negara ke arah memerangi perubahan iklim.

“Kita pun dalam perbincangan dengan Think City untuk melihat pendekatan mereka kalau boleh ‘up-skill’ dan memang sekarang banyak pendekatan yang diambil oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) ialah penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

“Ini kerana kita merasakan pendekatan tersebut lebih lestari, lebih murah dan lebih efektif,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, melalui pelaksanaan PNBCAP, Think City mensasarkan sekurang-kurangnya pengurangan 1.5 darjah Celsius dalam suhu di kawasan bandar dan lima hingga tujuh darjah Celsius di kawasan berlorek (kawasan tanah tinggi) dalam tempoh enam hingga lapan tahun selepas rancangan.

Beliau menambah, Think City juga akan banyak menyumbang kepada komponen daya ketahanan sosial melalui kepakaran dalam intervensi komuniti urban dan pengurusan pemegang taruh demi memastikan keterlibatan semua pihak.

Jelas beliau lagi, antara komponen dalam program tersebut adalah penghijauan urban, pengurusan air hujan, pemupukan daya ketahanan sosial dan komuniti; serta pengukuhan kapasiti institusi.

"Kami juga mengharapkan untuk meningkatkan keselesaan di bandar-bandar, mengurangkan kejadian banjir, dan kami menjangkakan untuk memastikan bahawa pengurangan kesan haba di bandar.

"Selain itu, lebih penting ialah kami ingin memberikan kesedaran dan kesan perubahan iklim, melihat bagaimana kami boleh membina institusi untuk latihan, bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di seluruh negara," katanya.

Hamdan berkata, PNBCAP adalah program adaptasi iklim urban pertama di Malaysia, dan berharap kemahiran melalui kaedah tersebut bukan hanya dapat diaplikasikan di negara ini, tetapi juga di rantau Asean.

"Seperti yang ditekankan oleh menteri (Nik Nazmi) bahawa lebih banyak kita perlu melihat kepada penyelesaian berasaskan semula jadi.

"Jadi kaedah ini (PNBCAP) berasaskan penyelesaian semula jadi bagi menguruskan isu-isu berkaitan perubahan iklim. Antara program yang ditekankan ialah kita cuba menggunakan (inisiatif) menanam pokok, pengurusan air yang baik dan pelbagai (inisiatif) telah direka dan dibangunkan oleh rakan-rakan kongsi," katanya lagi.

PNBCAP merupakan program lima tahun yang dibangunkan dengan kerjasama UN-Habitat, NRECC, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah berjaya mendapatkan dana sebanyak AS$10 juta (RM 44.23 juta) daripada Dana Pengadaptasian untuk pelaksanaan.