Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan pembenihan awan dalam usaha menangani keadaan cuaca panas dan kering yang dialami sekarang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Namun beliau berkata usaha itu bergantung kepada keperluan dan cuaca yang membolehkan pembenihan awan untuk mewujudkan awan kumulonimbus dilakukan.

"Selain itu kerajaan negeri pula perlu mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan kawasan hutan dan belukar tidak diceroboh dan mencegah kebakaran terbuka," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menunjukkan kebakaran terbuka dilakukan oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan kerajaan negeri mesti mengambil tindakan untuk membendung perbuatan ini, tambahnya.

Bagi penyelesaian jangka panjang untuk memperoleh air, beliau berkata telaga tiub bolah diadakan sebagai alternatif untuk pengaliran dan simpanan sumber air.

"Air boleh disedut dari telaga tiub di bawah tanah pada musim biasa atau kemarau sepanjang tahun untuk dialirkan ke kawasan kering pada musim panas,” kata Shahidan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar dan minum banyak air bagi memastikan badan mereka tidak mengalami hidrasi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca panas dan kering akibat fenomena El-Nino berakhir pada bulan Mei atau Jun ini.