BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM5.4 juta bagi melengkapkan dana pembinaan Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang, Pulau Pinang.

Beliau berkata dengan adanya peruntukan tambahan itu, kerja-kerja pembangunan yang dijangka bermula tahun hadapan dapat disegerakan.

Anwar berkata, kos keseluruhan pembinaan masjid itu menelan belanja RM9 juta namun katanya kariah masjid telah mengambil langkah proaktif mengumpul dana sehingga RM2.5 juta daripada masyarakat setempat.

"Penubuhan masjid ini tanggungjawab bersama, memakmurkan masjid itu seruan kepada semua, tanggungjawab kerajaan negeri ada, Persekutuan lebih besar, tetapi (tanggungjawab) kariah lebih besar," katanya.

Anwar berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang juga turut menyalurkan dana sebanyak RM1.1 juta bagi membantu membina masjid berkenaan yang dijadualkan siap pada 2025.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, projek masjid itu kelak diharapkan didirikan dengan niat yang betul dan bukannya semata-mata untuk mempamerkan kebanggaan serta kemegahan.

"Setiap kali nak bina masjid kena ingat masjid ada dua kategori, didirikan dengan semangat ketakwaan dan satu lagi masjid yang tak bawa kebaikan  kemungkaran. Kena ingat jawatankuasa masjid perlu mengusul kegiatan untuk mengimarahkan masjid, bawa kefahaman agama, angkat martabat umat terhadap kefahaman mereka serta mengelak kepada perpecahan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi, Pulau Pinang di Mengkuang Titi, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Lakaran Masjid Kampung Mengkuang Titi yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Kampung Mengkuang Titi, hari ini. - Foto BERNAMA

Kariah Mengkuang Titi asalnya adalah sebahagian daripada kariah Mengkuang Semarak dengan keseluruhan penduduk dianggarkan berjumlah 6,000 orang.

Dengan reka bentuk bangunan dua tingkat, Masjid Mengkuang Titi yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.29 hektar milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dijangka mampu menampung sejumlah 1,500 jemaah pada satu-satu masa.