Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng berkata pihak kerajaan negeri akan menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca polis tidak hadir seperti dirancang, dan seterusnya mengatasi kelemahan yang mungkin menyulitkan orang ramai.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng antara yang turut serta dalam rombongan perarakan mendiang Karpal Singh. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
“Kami ingin meminta maaf kepada orang ramai yang datang dari jauh dan dekat, tetapi tidak berpeluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Karpal.
“Kami berharap orang ramai dapat memaafkan dan mengabaikan sebarang masalah yang timbul semasa pengebumian itu,” kata Lim dalam satu kenyataan media.
Lim turut berterima kasih kepada lebih 3,000 penunggang motosikal yang hadir untuk mengiringi keranda Karpal untuk pengkebumiannya di Batu Gantong.
Lim berkata penunggang-penunggang motosikal tersebut datang sendiri tanpa apa-apa rancangan.
“Pengiringan 3,000 penunggang motosikal, yang sebahagian besar terdiri daripada golongan yang bekerja, pasti sangat bermakna bagi Karpal kerana ia menunjukkan bahawa kasih sayang untuk Karpal sentiasa dipegang oleh orang ramai di dalam hati mereka.
“Pengkebumian oleh kerajaan Pulau Pinang ini mungkin yang terbesar di dalam sejarah Pulau Pinang kerana rakyat Pulau Pinang dan Malaysia membuatkannya begitu.
"Kehadiran anda semua semalam menunjukkan bahawa terdapat ‘harimau’ di dalam diri setiap seorang kita,” katanya.
Lim menggesa rakyat Malaysia untuk mengikuti jejak langkah Karpal dalam memperjuangkan keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Bekas Pengerusi DAP itu serta pembantunya, meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 301.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara di Gua Tempurung, pada Khamis lepas.
Mayat mendiang disempurnakan di Krematorium Batu Gantung selepas majlis penghormatan negeri semalam.