Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir bagi memulihkan semula kehidupan rakyat di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas (pusat) Bencana Banjir Negeri Kelantan.

"Perkara utama di sini ialah bagaimana untuk memulihkan kehidupan rakyat kita yang ditimpa musibah banjir kembali seperti sedia kala, oleh kerana keadaan begitu teruk banyak pihak perlu menyedari hakikat bahawa kita perlu bersatu menguruskan keadaan ini secepat mungkin dalam keadaan sebaik-baiknya supaya kita dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita, selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir Negeri Kelantan di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ahmad dan Mustapa.

Muhyiddin berkata langkah pertama yang akan dilakukan adalah untuk memastikan kesemua mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing.

"Masalahnya ada 2,660 isi rumah yang rumah mereka musnah 100 peratus, bila balik mereka tidak ada rumah lagi, ini sudah didaftarkan," katanya.

Muhyiddin berkata proses untuk mendaftarkan isi rumah yang dikatakan menjadi mangsa banjir sedang dilakukan dan perlu disiapkan selewat-lewatnya pada 15 Jan.

"Apabila senarai mereka yang ditimpa musibah banjir itu didaftarkan, kita tahu isi rumah yang terlibat dan langkah utama kerajaan ialah untuk memberi bantuan ihsan untuk memulakan kehidupan mangsa banjir kerana mereka sudah lama tidak bekerja, tidak ada pendapatan.

"Dalam kes banjir biasa pun kita ada bagi sejumlah peruntukan, saya akan rujuk kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amaun yang akan diberikan kepada setiap isi rumah atau ketua keluarga sama ada RM500 atau RM1,000 ini akan diputuskan secepat mungkin," katanya yang berharap pembayaran akan dapat dilakukan sama ada 15 atau 16 Jan.

Beliau berkata bantuan bekalan makanan kering seperti beras, gula, susu dan lain-lain untuk menampung tempoh tiga hari selepas mangsa kembali ke rumah akan diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Muhyiddin berkata fokus jawatankuasa itu seterusnya ialah memastikan semua mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah atau rosak teruk mempunyai tempat berlindung buat sementara waktu sehingga rumah kekal dapat disiapkan.

"Sebahagian mereka tidak ada tempat untuk berlindung, kita bersetuju diberi perhatian segera sama ada sediakan khemah seperti di Gua Musang ... ini paling sementara. Menteri Besar telah kemukakan cadangan yang baik iaitu cari rumah kedai atau bangunan kerajaan yang tidak digunakan untuk tempatkan sementara mangsa banjir ini.

"Bangunan swasta kita boleh sewa untuk sekurang-kurangnya tiga bulan sementara menunggu projek rumah sementara siap," katanya sambil menambah jawatankuasa berkenaan akan mengenal pasti kediaman lain yang tidak digunakan untuk dijadikan penempatan sementara.

Beliau berkata bagi mangsa yang kehilangan rumah tetapi masih mempunyai tapak (tanah), kerajaan bercadang untuk membina semula rumah di tapak tersebut manakala mangsa yang tidak ada tapak rumah, kerajaan negeri akan menyediakan kawasan sesuai untuk dijadikan penempatan sementara.

"Konsep untuk rumah sementara yang akan dibina itu akan diputuskan secepat mungkin kerana maksud sementara itu ialah untuk tempoh setahun hingga tiga tahun, bergantung kepada tempoh siapnya pembinaan rumah kekal," katanya.