KOTA KINABALU:Kerajaan negeri akan membentangkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025, iaitu kerangka hala tuju dan strategi bagi terus memacu ekonomi negeri dan sosio-ekonomi rakyat, Januari depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan pembangunan yang akan berfungsi memandu arah pelaksanaan secara terancang bagi mencapai sasaran berdasarkan keperluan pembangunan negeri itu juga akan bergerak seiring dengan kerangka utama pembangunan negara melalui Wawasan Kemakmuran Bersama.

Menurutnya kerajaan negeri sedang dalam peringkat akhir untuk menyediakan agenda dan hala tuju pelan pembangunan itu yang turut melibatkan sesi libat urus bagi memuktamadkan inisitiaf bertepatan.

"Kerajaan negeri yang saya pimpin bermula 29 Sept lepas sedang berdepan realiti dan kedudukan ekonomi amat mencabar. Kami perlu bertindak segera untuk menangani penyusutan pertumbuhan sektor serta subsektor tertentu, dan mengenal pasti sumber baharu untuk memperkukuh serta meningkatkan hasil negeri.

"Pada masa sama, kedudukan sosio-ekonomi rakyat perlu diletakkan pada unjuran keutamaan melalui usaha yang menjurus kepada sasaran untuk meningkatkan ekonomi rakyat," katanya ketika berucap membentangkan Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Hajiji berkata pelan pembangunan negeri itu juga dirangka sebagai usaha membawa Sabah keluar daripada kesan pandemik COVID-19, selain sebagai strategi membina kemajuan negeri lebih mampan di masa depan.

Beliau berkata Pelan SMJ 2021-2025 menggariskan tiga elemen utama iaitu sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan sebagai fokus pertumbuhan ekonomi; modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Katanya Belanjawan 2021 akan menjadi belanjawan pertama bagi melaksanakaan pelan berkenaan.

Untuk itu, Hajiji mengalu-alukan semua Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah mengemukakan syor serta cadangan dalam proses memuktamadkan inisiatif-inisiatif digariskan dalam Pelan SMJ 2021-2025.

"Selain perbahasan yang menjurus kepada Belanjawan 2021, input dan saranan dalam setiap perbahasan akan diambil kira dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ.

"Setiap daripada kita berhasrat dan mengidamkan perubahan negeri ke arah lebih maju dan makmur. Justeru, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab semua untuk memastikan keberhasilan Pelan SMJ demi kepentingan negeri dan rakyat," katanya.

-- BERNAMA