Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan sebarang penglibatan berhubung dakwaan pakatan rakyat bahawa rakyat Malaysia dan juga warga asing diterbangkan ke semenanjung untuk mengundi pada pilihan raya umum, Ahad ini.

Dalam satu kenyataan ringkas, seorang jurucakap kerajaan berkata:

"Pejabat Perdana Menteri menafikan sebarang pembabitan berhubung penerbangan seperti ini.

"Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertungkus lumus memastikan bahawa sistem pilihan raya lebih kukuh daripada sebelum ini, dan pilihan raya adalah bebas dan adil," kata jurucakap berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan semasa pilihan raya adalah normal bagi pertubuhan-pertubuhan dan parti politik menggalakkan pengundi datang ke pusat mengundi.

Malah pakatan rakyat telah menempah bas-bas bagi membawa pulang pengundi dari Singapura, manakala Bersih, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai kaitan dengan pakatan rakyat, membayar tambang penerbangan bagi rakyat Malaysia untuk pulang dari Shanghai dan Hong Kong.

"Pakatan rakyat secara sinis cuba menimbulkan keraguan mengenai keadilan sistem pilihan raya bagi melemahkan demokrasi Malaysia. Ia adalah satu kempen bagi memburuk-burukkan sistem pilihan raya menjelang pilihan raya. Pembangkang sedang menyediakan satu alasan bagi kekalahan mereka," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Tengku Adnan berkata penerbangan yang menjadi persoalan itu dianjurkan dan dibayar oleh 'rakan-rakan BN' bagi membawa pulang pengundi berdaftar ke daerah-daerah mereka agar dapat mengundi dalam pilihan raya.

"Tidak ada apapun yang benar berhubung dakwaan pembangkang, tidak lain dan tidak bukan penumpang-penumpang itu hanya pengundi-pengundi berdaftar Malaysia," katanya.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan Khamis malam berkata semua penerbangan sewa khas oleh syarikat penerbangan nasional itu adalah penerbangan sewa khas komersil.

"Malaysia Airlines menyangkal semua dakwaan bahawa ia menggerakkan penerbangan sewa khas bagi membawa pengundi-pengundi hantu pilihan raya umum ke-13," kata kenyataan itu.

Dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur Khamis, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat sejumlah penerbangan sewa khas dari Sabah dan Sarawak yang membawa 'individu-individu meragukan' melalui Lapangan Terbang antarabangsa Kuala Lumpur sejak Khamis lepas.