PUTRAJAYA: Kerajaan menyarankan supaya nama kad visa Touch 'n Go (TnG) diubah supaya tidak mengelirukan pengguna memandangkan perkataan 'Touch 'n Go' sinonim dengan sistem pembayaran tol, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Ia adalah antara tindakan segera yang diarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam sesi libat urus bersama pihak pengurusan TnG bagi menyelesaikan isu berbangkit berhubung perkhidmatan kad TnG, katanya.

Salahuddin berkata pihak TnG perlu mengadakan advokasi bagi menjelaskan kepada pengguna bahawa kad prabayar visa TnG hanya untuk tujuan pembelian barangan dan perkhidmatan serta pengeluaran wang.

"Kad ini tidak boleh digunakan bagi tujuan pembayaran tol dan pengangkutan awam," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena sesi libat urus berkenaan iaitu antara permasalahan yang diutarakan pada sesi itu ialah isu berkaitan penggunaan kad visa TnG terutama bagi pembayaran tol.

Salahuddin berkata pihak TnG juga telah diarahkan untuk melaksanakan advokasi dan notifikasi awal kepada pengguna bagi pemakluman tempoh kad yang akan luput, selain menambah baik kaedah dan mempercepatkan proses serta tempoh bayaran balik dan pemindahan baki.

Pihak TnG juga diarahkan menambah pusat jualan kad dan perkhidmatan TnG di lokasi selain pusat sedia ada di KL Sentral dan Bangsar, selain meminta penyedia platform perniagaan dalam talian untuk menurunkan iklan jualan kad TnG oleh pihak ketiga yang tidak mendapat kebenaran menjual kad terbabit, katanya.

"Pihak TnG juga diberi masa satu minggu untuk hasilkan pelan tindakan susulan seterusnya," katanya.

Salahuddin berkata bahagian penguatkuasaan KPDN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menjual kad TnG melebihi harga yang ditetapkan oleh pengeluar di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

-- BERNAMA