KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSLKU).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pada masa yang sama, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal.

Jelasnya lagi, segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

"Sebanyak hanya 104 ekar daripada jumlah keseluruhan 1,326 ekar akan kekal dinyahwarta bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006. Mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan KLIA.

"Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL). Kerajaan Negeri juga akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit," katanya dalam satu kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Rabu.

BACA: Sisa-sisa kawasan hutan di Selangor patut dipulihkan semula dan dipelihara - Dr Ibrahim Komoo

BACA: 
Raja Muda Selangor nafi ada kaitan dengan pemaju Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Kata Amirudin, sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menjawab sebarang isu-isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini.