KERAJAAN hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat.

Apabila pandemik COVID-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok dicapai, maka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperoleh untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata itu antara dua mandat besar akar umbi yang telah diamanahkan kepada beliau dan barisan pengemudi parti melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini.

"Keduanya, kehendak akar umbi yang menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi UMNO dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi.

"Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya setelah Parlimen dibubarkan untuk PRU15 yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Rabu.

 
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, Kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

Tambahnya, kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat.

"Terlalu banyak hikmah Allah takdirkan UMNO hilang kuasa pada PRU lalu untuk kita muhasabahkan.

"Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan," ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyatakan bahawa UMNO berpendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

"Saya menerima banyak pertanyaan, bahkan sempat membaca pelbagai komen bertanyakan mengenai apakah pendirian UMNO dalam pembentukan Jemaah Menteri dan perlantikan mantan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

"Parti telah membuat pendirian menyokong perlantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

"Ini bermakna, parti menyerahkan kebijaksanaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

"UMNO konsisten dalam pendiriannya. Kita telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri dan bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara," jelasnya.