KUALA LUMPUR:Kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih gagal mengawal gejala rasuah, meskipun pelbagai program dan tindakan dilakukan di negara ini.

Menjadi penggerak kepada kempen Jihad Perangi Rasuah, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, hanya kuasa rakyat sahaja mampu menyelesaikan isu rasuah secara holistik.

Perkara itu jelas beliau, boleh dilakukan dengan menukar pemimpin yang lebih bertanggungjawab dan berintergiriti.

"Sampai hari ini, isu rasuah masih berleluasa, SPRM tidak boleh buat apa, kerajaan juga tidak boleh buat apa. Hanya kuasa rakyat sahaja boleh selesaikan dengan menukar pemimpin baharu.

"Namun, semua orang (rakyat) perlu bergabung tenaga untuk melakukan penyucian atau pembersihaan secara menyeluruh kerana rasuah ini berlaku di setiap tempat.

"Di kampung, daerah, negeri malah di universiti pun wujud gelaja rasuah terutamanya dalam isu lantikan profesor seperti mempunyai surat kuning dan sebagainya," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.

Menurut beliau, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100, berbanding 53, pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, tindakan membiarkan individu atau pemimpin politik yang mempunyai rekod salah laku rasuah akan merugikan pemegang taruh khususnya rakyat.

"Saya rasa, kalau dibiarkan keadaan ini (rasuah) dan 'melepaskan' orang politik (yang mempunyai rekod salah laku rasuah) berkeliaran dalam pasaran, isu ini tidak akan selesai, bahkan akan merugikan 'stateholder' paling besar iaitu rakyat," ujarnya.