Langkah risikan dan tangkapan selama ini berhubung isu militan membuktikan kerajaan tidak pernah alpa terhadap isu yang mengancam keselamatan negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keupayaan unit risikan dan Cawangan Khas kementeriannya dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga akan ditambah untuk memastikan gejala ini dapat dibendung sepenuhnya.

"Usaha menangkap individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan militan di negara ini bukan sesuatu yang baharu malah ia merupakan bukti betapa kerajaan peka dengan kegiatan pelampau.

"Bagaimanapun, sejak pendedahan mengenai tangkapan individu disyaki terbabit kegiatan militan dilaporkan media, ia seolah-olah menggambarkan kegiatan itu baharu sahaja dapat dibongkar," katanya.

Jelasnya, adalah tidak benar dakwaan kerajaan hanya bertindak membanteras isu militan akhir-akhir ini.

"Kita mempunyai keupayaan membuat risikan. Risikan dari Cawangan Khas juga telah dipertingkatkan untuk menjaring kerjasama serantau dan badan risikan negara-negara antarabangsa," ujarnya.

Tambah Wan Junaidi, pendedahan yang berlaku sekarang disebabkan keadaan semasa dan minat media kepada perkara berkenaan yang menjadi perbincangan umum.

Jelasnya, berdasarkan undang-undang sedia ada, polis tidak boleh membuat penahanan untuk pencegahan sebaliknya perlu mengumpul bukti mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk dituduh di mahkamah.

"Kegiatan seperti ini mampu memberi ancaman kepada negara sekiranya tiada tindakan tegas, pemantauan rapi dan kerjasama rakyat keseluruhannya.

"Ini bukan lagi masalah KDN dan polis semata-mata tetapi ia merupakan masalah negara yang perlu penglibatan semua pihak," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan kata Wan Junaidi, kerajaan bimbang terhadap pembabitan rakyat negara ini di dalam isu militan.

"Kumpulan itu sebenarnya tidak membuat penilaian terperinci berhubung perjuangan pihak mana yang mendapat bantuan dan sokongan mereka dan sama ada ia akan mendatangkan kebaikan kepada ummah keseluruhannya.

"Kita risau kerana pemikiran mereka ini boleh membawa satu ancaman terbesar kepada negara, ini termasuk mempengaruhi belia-belia kita," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pada tahun ini, polis menahan 19 rakyat tempatan yang dipercayai terbabit dalam kumpulan militan yang mempunyai hubungan dengan militan di Selatan Filipina dan negara Timur Tengah.