KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik ekoran ia mungkin menjejaskan sektor pengangkutan udara itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebaliknya kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penerbangan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

"Berkali-kali kementerian menjawab bahawa dari segi harga tiket kapal terbang, ia adalah dinamik dan kita tidak boleh letak harga siling sebab kalau buat atau kawal dari segi harga tetap, ia mungkin akan jejaskan sektor penerbangan.

"Ini kerana jika syarikat penerbangan melihat tidak ada harga dinamik, mereka mungkin akan mengurangkan kapasiti dan jika kapasiti dikurangkan, ia akan memberi kesan lebih buruk kepada keseluruhan ekonomi dan pengangkutan udara," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta Kementerian Pengangkutan mengawal atau melaksanakan mekanisme supaya harga tiket kapal terbang berpatutan.

Dalam pada itu Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, kementeriannya amat menggalakkan pertambahan syarikat penerbangan baharu bagi menampung keperluan.

"Baru-baru ini sudah ada syarikat penerbangan baharu dan antara laluannya adalah ke Kota Bharu (Kelantan) dan itu sebabnya kementerian memberi kerjasama kepada syarikat penerbangan untuk galakkan pertambahan kapasiti.

“Untuk musim Aidilfitri akan datang, memang kapasiti juga akan ditambah bagi memastikan lebih banyak tiket kapal terbang dapat ditawarkan kepada pengguna," katanya.

Sementara itu mengenai cadangan menaik taraf lapangan terbang sedia ada ke lapangan terbang antarabangsa, Anthony menjelaskan, setakat ini kerajaan belum ada perancangan untuk laksanakan perubahan berkenaan.

“Kalau ada permintaan daripada mana-mana syarikat penerbangan untuk terbang dari laluan antarabangsa, sekarang ini walaupun bukan bertaraf lapangan terbang antarabangsa, ia boleh (dilakukan), tiada masalah.

“Cuma kalau untuk menaik taraf lapangan terbang kepada antarabangsa, setakat ini belum ada apa-apa perancangan. Tetapi kalau sudah ada permintaan untuk laluan antarabangsa, memang boleh dipertimbangkan di masa hadapan namun ia tidak menjejaskan sebarang laluan atau penerbangan antarabangsa untuk mendarat di Kota Bharu.

"Dari segi landasan tiada masalah kerana kapal terbang laluan dalam negeri, kebanyakannya menggunakan (jenis) A320 atau Boeing 737 untuk destinasi rantau ASEAN,” ujarnya. - Sinar Harian