KUALA LUMPUR : Kerajaan bertekad untuk cuba mengembalikan sebahagian wang negara yang telah dicuri akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab dan terpalit dengan gejala rasuah.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan perbuatan itu sebagai satu kerugian besar terhadap negara.

“Orang-orang yang pernah jadi Menteri Kewangan, Perdana Menteri tatkala mereka ini berkuasa, bukan ratusan juta ringgit yang dipunggah malah melibatkan berbilion ringgit.

“Kerajaan ini akan pastikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada dana yang dipunggah itu dipulangkan semuala kepada rakyat… ini bukan jumlah yang kecil, sekiranya perkara ini berterusan tentunya saya akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra menerusi Program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 pada Sabtu.

Jelasnya lagi, seorang individu yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri juga tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan jumlah wang yang besar untuk tujuan tertentu.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu mengakui, usaha untuk memerangi rasuah bukan satu perkara yang mudah selain ia tidak hanya terletak pada bahu kerajaan.

“Tugas ini adalah tugas bersama, ini bukan soal politik kepartian kerana ini tugas umat dan rakyat Malaysia dan kalau kita mahu jamin negara ini selamat dan diangkat martabatnya maka kita harus ada tekad yang jelas untuk hentikan amalan ini.

“Saya bukan baru dalam politik tetapi saya bersyukur dan berterima kasih kerana saya ada pasukan dalam kerajaan yang bertekad untuk lakukan perubahan ini,” katanya lagi.

Pada 21 Disember lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan membatalkan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, susulan bencana banjir di beberapa negeri dan kesusahan dialami rakyat.