KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti beberapa peruntukan undang-undang yang boleh digunakan atau dipinda untuk membolehkan pengembalian wang kepada mangsa penipuan dalam talian, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah antara yang sedang diteliti.

"Selain itu, dalam usaha menangani isu penipuan dalam talian, kerajaan juga telah dan akan melaksanakan langkah-langkah bagi memerangi jenayah ini dengan mempertingkatkan usaha dan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi memastikan tindakan lanjut boleh diambil terhadap penjenayah yang berada di luar negara.

"Meningkatkan keupayaan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berkaitan pengoperasian, sumber tenaga kerja, sistem data berpusat, kemudahan infrastruktur pejabat, peralatan technicality dan sistem analisis kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Husain Awang pada sesi soal jawab lisan mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani isu penipuan dalam talian yang semakin kritikal.

Ramkarpal berkata menerusi pengoperasian NSRC yang menggabungkan tenaga kerja dan kepakaran pelbagai agensi temasuk institusi perbankan dan syarikat telekomunikasi, tindakan penguatkuasaan bersepadu boleh dilaksanakan.

"Antaranya tindakan menjejak transaksi kewangan mencurigakan, menjejak panggilan telefon yang digunakan scammer (penipu), menyekat aliran wang hasil (penipuan) dan membatalkan nombor telefon yang digunakan scammer," katanya.

-- BERNAMA