KUALA SELANGOR: Kadar pengangguran negara kini berada pada paras terendah sejak pandemik COVID-19 bermula, iaitu 3.7 peratus.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini merupakan hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam usahanya meningkatkan peluang pekerjaan, mengukuhkan pasaran buruh dan seterusnya menyokong momentum pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

“Ia termasuk inisiatif seperti Insentif Penggajian, Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (PSU).

"Penurunan ini turut dipengaruhi dasar-dasar lain yang menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh selama tiga suku ekonomi berturut-turut.

“Langkah-langkah kerajaan seperti membuka semula ekonomi dengan selamat dan teratur juga memacu permintaan pengguna domestik dan luar negara, seterusnya berjaya merangsang pertumbuhan perniagaan serta perdagangan yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Karnival Kerjaya Jaminkerja Keluarga Malaysia di sini semalam.

Ketika pandemik COVID-19, kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020 dan berada pada paras 4.6 peratus tahun lalu.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan membelanjakan sebanyak RM21 bilion melalui Program Subsidi Upah yang memanfaatkan 358,158 majikan serta menyelamatkan 2.96 juta pekerjaan sejak ia diperkenalkan pada 1 April lalu.

“Kita juga menyokong penuh program-program penempatan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs yang dikelola oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso.”

Beliau berkata, sehingga 14 Okt lalu, portal MyFutureJobs berjaya membantu hampir 653,000 pencari kerja mendapatkan pekerjaan di seluruh negara.

Daripada jumlah ini, lebih 454,000 adalah penerima insentif Program Penggajian PenjanaKerjaya dan Program JaminKerja - Insentif Penggajian.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga berkata, kerajaan bercadang membangunkan sebanyak 13 buah lagi Pusat Satelit MyFutureJobs di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

“Usaha ini adalah bagi meningkatkan peluang pekerjaan khususnya komuniti luar bandar.

"Pusat satelit ini adalah penting untuk merapatkan jurang di antara kerajaan persekutuan dan penduduk di bandar-bandar kecil dan di peringkat akar umbi.

“Sehingga kini terdapat 150 pusat satelit secara keseluruhan,” katanya.

Inisiatif pusat satelit ini adalah kerjasama Perkeso dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.