KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak akan mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan dadah berkaitan seperti yang tertakluk di bawah penguatkuasaan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya ia kerana bahan itu jelas banyak memberi kemudaratan kepada masyarakat walaupun baru-baru ini, Persidangan Semula Sesi Ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik yang diadakan di Vienna telah bersetuju untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961.

"Kerajaan telah mensasarkan 'Dadah Terkawal 2025' sebagai perancangan jangka masa lima tahun akan datang seiring dengan matlamat Dasar Dadah Negara.

"Perancangan yang bersifat inklusif dan holistik ini bertujuan menggembleng usaha di antara sektor awam, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil ke arah pembangunan masyarakat yang bebas dadah," katanya sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2021, pada Khamis.

Perutusan Perdana Menteri itu disiarkan melalui stesen televisyen utama negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata antara objektif utama Dadah Terkawal 2025 ialah membersihkan 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) seluruh negara, meluaskan liputan rawatan bagi meningkatkan kadar pemulihan penagih dadah, memperkasa penglibatan komuniti selain menggerakkan agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara bersepadu dalam menangani isu berkenaan dadah.